Seorang ahli politik Korea Selatan mendakwa pertelagahan antara bekas jurulatih negara itu, Hong Myung-bo dan Son Heung-min berlaku semasa kempen Piala Dunia 2026.
The Asia Business Daily melaporkan Ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat, Jin Jong-oh mendakwa pertelagahan dua figura itu menjadi punca Korea Selatan gagal layak ke pusingan kalah mati kejohanan itu.
Pertelagahan itu didakwa bermula selepas perlawanan kedua Kumpulan A menentang Mexico. Heung-min dikatakan cuba memberi kata-kata perangsang kepada rakan-rakan sepasukan dalam bilik persalinan selepas perlawanan.
Hal ini tidak disenangi Myung-bo sebelum mengarahkan semua pemain keluar bagi membolehkan beliau bersemuka dengan kapten Korea Selatan itu.
Jong-oh juga mendakwa pertelagahan itu dilihat semakin parah apabila Heung-min dan Lee Jae-sung mahu boikot ke atas pihak media diteruskan. Ini susulan tindakan seorang pengamal media yang memperlekeh bekas penyerang Tottenham Hotspur itu kerana mendapat pengecualian khidmat negara.
Hal ini kurang dipersetujui ramai pemain yang mahu usaha boikot itu dihentikan. Lantaran itu, Myung-bo mengarahkan boikot media dihentikan dengan pemain-pemain menerima temu bual dengan pihak media.
Meskipun begitu, Heung-min dan Jae-sung didakwa enggan berbuat demikian. Jong-oh mendakwa disebabkan perkara itu, kedua-duanya disisihkan ke bangku simpanan untuk aksi ketiga Kumpulan A menentang Afrika Selatan.
Dakwaan ahli politik itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) dan Myung-bo.
Walau bagaimanapun, situasi ini dijangka berubah apabila Kementerian Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Korea Selatan melancarkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dan menambah baik arena bola sepak negara itu.
Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Korea Selatan, Chae Hwi-young dan legenda Manchester United, Park Ji-sung memikul peranan sebagai pengerusi bersama. Bekas bek kiri Spurs, Lee Young-pyo antara ahli jawatankuasa yang dilantik.