Advertisement
Jurulatih Kyrgyzstan Kagum Dengan Kualiti Malaysia
Harimau Malaya
MakanBola
KFU

Jurulatih skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic melihat Malaysia sebagai antara pencabar berkualiti dalam Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026.

Ini kerana beliau merasa kagum dengan kemampuan anak-anak buah Kim Pan-gon melancarkan serangan dan bijak menyudahkan peluang yang terhidang dalam beberapa perlawanan antarabangsa.

Dengan Malaysia mampu membelasah Papua New Guinea 10-0 dan berjaya mengaibkan negara Asia Tengah, Turkmenistan sebanyak dua kali, Tarkovic melihat Harimau Malaya sebagai lawan yang patut dihormati.

“Dalam beberapa perlawanan sebelumnya, skuad kebangsaan Malaysia menunjukkan keberkesanan dari segi penyudah di mana ini menunjukkan kualiti serangan yang dimiliki mereka.

“Mereka pencabar berkualiti tinggi di mana anda perlu membuat persediaan dengan rapi. Bila kita turun beraksi, kita perlu mencari keseimbangan antara bertahan dan menyerang,” katanya kepada bahagian media Kesatuan Bola Sepak Kyrgyz (KFU).

Selain Malaysia, Tarkovic turut melihat Oman sebagai ancaman besar kepada aspirasi Kyrgyzstan. Menariknya, kedua-dua pasukan ini berada dalam Kumpulan F Piala Asia 2023 bersama Thailand dan Arab Saudi.

Justeru, The White Falcons mahu mencari sebarang kelebihan yang membolehkan mereka mengakali Oman dalam pusingan kelayakan dan Piala Asia 2023.

“Kita ada dua perlawanan penting dengan mereka iaitu perlawanan kelayakan pada November dan Piala Asia pada Januari. Oman berada dalam Pot 2, jadi kualiti yang dimiliki mereka menunjukkan pasukan pilihan,” tambahnya.

Kyrgyzstan memulakan kempen kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026 dengan menentang Malaysia pada 16 November ini.