Malaysia vs Papua New Guinea: 4 Gol Arif Aiman Pastikan Harimau Malaya Bantai Papua 10-0
Harimau Malaya
Azri Haziq / MakanBola
Advertisements

Malaysia membuktikan kehebatan mereka di hadapan penyokong sendiri dengan membelasah Papua New Guinea 10-0. Kecemerlangan Harimau Malaya ini disumbang oleh empat gol Arif Aiman Hanapi.

Separuh masa pertama menyaksikan Kapuls diserang bertubi-tubi oleh Harimau Malaya. Tetapi kebanyakan percubaan skuad kebangsaan berjaya dinafikan oleh penjaga gol Papua, Ronald Warisan.

Kapten KL City FC, Paulo Josue kecewa apabila dua golnya dibatalkan oleh pengadil Indonesia, Yudi Nurcahaya. Gol pertama dibatalkan kerana ofsaid dengan gol keduanya dibatalkan selepas Josue dikesan mengasari pertahanan pelawat.

Advertisements

Tetapi kesungguhan Harimau Malaya mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit akhir separuh pertama.

Safawi yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan penalti mudah menewaskan Warisan bagi meletakkan skuad negara di hadapan.

Advertisements

Menyedari kedudukan Malaysia masih dalam bahaya walaupun mendahului 1-0, jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memasukkan Faisal Halim, Arif Aiman dan Daniel Ting dalam separuh masa kedua.

Percaturan tersebut berhasil dengan Josue menyumbat gol kedua perlawanan pada minit ke-52. Gol tersebut memadamkan kekecewaan yang dialaminya pada separuh masa pertama.

Advertisements

Arif Aiman kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-57 apabila melepaskan rembatan deras menewaskan Warisan. Faisal kemudian menambah derita Kapuls dengan gol keempat pada minit ke-57.

Pemain sayap Selangor itu kemudiannya melorongkan bola yang mudah disempurnakan Arif Aiman pada minit ke-60. Josue kemudiannya mencipta hatrik menerusi dua gol pada minit ke-64 dan ke-70.

Advertisements

Dengan keputusan 7-0 memihak kepada tuan rumah, Kapuls berkubu di bahagian mereka dengan harapan dapat mengelak dibolosi lagi. Bagaimanapun, Daniel Ting menambah malam gemilang Harimau Malaya dengan gol kelapan pada minit ke-76.

Seakan tidak puas dengan dua gol, Arif Aiman memastikan Malaysia merekodkan kemenangan kedua terbesar dalam sejarah bola sepak negara dengan gol pada minit ke-87 dan 89.

Kemenangan malam ini disifatkan yang terbesar pernah direkodkan Harimau Malaya di gelanggang sendiri. Kali terakhir skuad negara berpesta gol ialah ke atas Timor Leste dengan keputusan 7-1 pada Jun 2019.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram