Jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic sudah meramalkan laluan sukar berdepan Malaysia bakal diharungi sejak 8 bulan yang lalu.
Beliau ketika ditemui pada sesi pra-perlawanan memberitahu bahawa persiapan pasukannya berjalan lancar sebelum bertemu Harimau Malaya.
Kelebihan beraksi di laman sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya sungguhpun terdapat beberapa perubahan dalam skuad yang dipanggil kali ini.
Tarkovic mahu membina skuad lebih baik demi masa depan bola sepak Kyrgyzstan seperti yang odilaungkannya selepas tewas kepada Malaysia di Bukit Jalil.
Beliau telah memberitahu pada November lalu bahawa keputusan dua perlawanan akhir bakal menjadi penentu kepada peluang pasukan mara ke pusingan berikutnya.
“Seperti yang saya pernah katakan pada bulan November lalu, kualiti pasukan dalam kumpulan ini amat dekat. Jadi dua perlawanan akhir bakal menjadi penentu pasukan mana yang bakal mara.
“Mengalahkan Malaysia dan Oman bakal membuka peluang untuk kita mara, namun ya tugas itu bukan mudah. Akan tetapi, kami mahu menunjukkan kualiti dan impian kami untuk mara,” jelas Tarkovic sebelum perlawanan.
Fokus pengendali berusia 51 tahun itu untuk memastikan anak didiknya dapat tampil dengan prestasi terbaik berdepan Harimau Malaya.
Aksi Kyrgyzstan dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun 2024 jam 11.00 malam.