Jurulatih Mesir, Hossam Hassan berpotensi dikenakan hukuman berat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Wartawan sukan terkenal Afrika, Micky Jnr melaporkan legenda Mesir itu berpotensi dikenakan tindakan selepas dikesan menggunakan bahasa kesat ke arah pengadil. Insiden itu berlaku dalam aksi pusingan 16 Piala Dunia menentang Argentina.
Selain didakwa menggunakan bahasa kesat, Hossam juga dikesan menunjukkan isyarat kontroversi silang tangan dan gagal mengawal kawasan teknikal Mesir.
Ini kerana ramai staf teknikal The Pharoahs kerap meninggalkan kawasan mereka dengan salah seorang daripadanya dilayangkan kad merah.
Jawatankuasa Disiplin FIFA dijangka menyemak semua insiden tersebut sebelum memutuskan sebarang tindakan disiplin ke atas Hossam.
Jika perkara ini berlaku, ini dijangka memburukkan lagi hubungan antara Persatuan Bola Sepak Mesir (EFA) dan FIFA. Ini ditambah dengan EFA memfailkan aduan kepada FIFA berhubung mutu pengadilan aksi Mesir dan Argentina.
Mesir terkandas di pusingan 16 apabila tewas 3-2 kepada Argentina.