Persekutuan Bola Sepak Mesir (EFA) dilaporkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA terhadap pengadil dari Perancis, François Letexier, susulan kekalahan kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA di Atlanta pada Selasa.
Menurut laporan akhbar Sepanyol, Diario AS, Presiden Persekutuan Bola Sepak Mesir, Hany Abo Rida, telah mengemukakan aduan rasmi terhadap Letexier serta pasukan pengadilnya.
EFA dilaporkan meminta FIFA menjalankan siasatan terhadap beberapa keputusan kontroversi yang berlaku sepanjang perlawanan tersebut.
Malah, badan induk bola sepak Mesir itu turut menggesa agar Letexier bersama pasukan pengadilnya digugurkan daripada mengadili baki kejohanan selepas didakwa melakukan beberapa kesilapan besar yang menjejaskan keputusan perlawanan.
Antara keputusan yang dipersoalkan ialah jaringan Mesir yang dibatalkan selepas semakan VAR serta dakwaan insiden sepakan penalti yang tidak disemak sebelum Argentina menjaringkan gol kemenangan.
Selepas tamat perlawanan, ketua jurulatih Mesir, Hassan, turut mempersoalkan beberapa keputusan pengadilan sambil membayangkan terdapat faktor lain yang mempengaruhi keputusan perlawanan.
“Kami bermain lebih baik daripada juara bertahan, lebih baik dalam semua aspek tetapi keputusan perlawanan dipengaruhi oleh faktor dalaman di atas padang dan faktor luaran di luar padang.
“Mungkin mereka mahu memastikan juara dunia terus kekal dalam kejohanan ini. Mungkin mereka mahu Messi terus bersaing,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
“Dalam bola sepak, kadangkala terdapat faktor luaran yang melangkaui aspek teknikal. Juara dunia menerima sokongan di setiap peringkat,” tambahnya.
Mesir sebelum itu mendahului 2-0 menerusi jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Zico.
Bagaimanapun, Argentina bangkit pada penghujung perlawanan menerusi jaringan Lionel Messi dan Enzo Fernandez untuk melakar kemenangan dramatik serta mengesahkan kemaraan ke suku akhir.
Argentina kini akan berdepan Switzerland dalam aksi suku akhir yang dijadual berlangsung di Kansas City, Missouri pada Sabtu.