Jurulatih Myanmar Naik Angin ‘Kami Kalah Kerana 3 Orang Di Luar Padang’
MakanBola
Myanmar FF

Jurulatih Myanmar, Jorn Andersen mengakui merasa marah dengan mutu pengadilan dalam aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.

Jurulatih Norway itu meluahkan rasa tidak puas hati kerana beliau melihat banyak keputusan pengadil tidak memihak kepada pasukan itu.

Andersen melihat perkara tersebut sedikit sebanyak membantu Thailand menewaskan Myanmar sekaligus mengesahkan tiket ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

“Saya rasa teruk. Kita tewas disebabkan perkara-perkara lain, bukan pasukan Thailand. Saya tak nak bercakap terlalu banyak (tentang mutu pengadilan).

“Amat jelas kepada semua orang pasukan mana yang mencipta lebih banyak peluang berbahaya dalam perlawanan ini. Apa yang menjadi sebab kekalahan kita hari ini ialah tiga orang di luar padang,” katanya seperti dilaporkan TheThao247.

Penalti Worachit Kanitsribampen dan Jehanafe Mamah memastikan anak buah Anthony Hudson layak ke separuh akhir. Thailand bakal bertemu Singapura di peringkat separuh akhir.

Satu lagi aksi separuh akhir bakal menemukan naib juara Kumpulan B, Malaysia dan Vietnam.