Pengendali New Zealand melakukan rombakan di benteng pertahanan menjelang aksi persahabatan pada Oktober ini bertemu Harimau Malaya.
Skuad negara akan terbang ke Auckland untuk bertemu New Zealand buat kali pertama sejak 2006 dalam satu aksi persahabatan di Stadium North Harbour pada 14 Oktober.
Sebelum itu, All Whites akan membuka saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 bagi kumpulan B dengan berdepan bekas juara Oceania, Tahiti pada 11 Oktober di Port Vila, Vanuatu.
Bagi menghadapi dua aksi ini, jurulatih New Zealand, Darren Bazeley telah mengumumkan senarai 21 pemain dengan 3 pemain telah dipanggil semula untuk membawa cabaran All Whites.
Menurut Bazeley, para pemain yang dipanggil kali ini adalah skuad yang terbaik New Zealand ketika ini setelah menilai sekitar 50 pemain untuk menghadapi aksi antarabangsa ini.
“Ini adalah skuad yang kuat dengan persaingan sebenar untuk mendapatkan tempat daripada lebih 50 pemain yang kami pantau, kami perlu membuat keputusan yang sukar yang anda mahukan sebagai jurulatih.”
Tambah beliau, beliau gembira melihat kepulangan tonggak pertahanan Central Coast Mariners, Storm Roux yang akan kembali bersama pasukan setelah tersisih dalam perlawanan terakhir.
“Sangat bagus untuk mengalu-alukan kehadiran Storm (Roux) kembali kali ini selepas dia tidak dapat hadir untuk beberapa lawatan terakhir,” ujar Bazeley dalam kenyataan rasmi.
Selain Storm, Bazeley turut memanggil semula pertahanan muda, Tyler Bindon serta pemain tengah, Cam Howieson yang terlepas dua aksi jelajah Amerika Syarikat pada bulan September lalu.
“Serta Cam (Howieson) dan Tyler (Bindon) yang bukan sebahagian daripada jelajah Amerika Syarikat, saya tahu mereka semua tidak sabar untuk kembali ke padang menyarung jersi All Whites.”
Dalam perkembangan sama, pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti telah mengumumkan senarai 27 pemain Harimau Malaya yang bakal bertemu New Zealand dengan 2 pemain muda negara menjadi tumpuan.
Kali terakhir skuad negara bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006.
[…] Source link […]