Jurulatih Perancis Mahu Ulangi Memori Indah 1998
MakanBola
Equipe de France

Pengendali Perancis, Didier Deschamps berharap dapat mengulangi kejayaan menewaskan Paraguay seperti yang berlaku dalam Piala Dunia 1998.

Pusingan 16 pasukan terbaik menemukan Perancis yang juga naib juara edisi 2022 dengan wakil Amerika Selatan, Paraguay. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu dalam Piala Dunia sejak edisi 1998.

Aksi edisi berkenaan menyaksikan Perancis meraih kemenangan tipis 1-0 di pusingan 16 pasukan terbaik menerusi gol emas Laurent Blanc.

Kemenangan Les Bleus itu membuatkan Deschamps tersenyum apabila diminta mengulas prospek pertemuan kedua-dua pasukan.

“Pemain-pemain saya tidak lahir pada ketika itu tetapi saya ingat (perlawanan tersebut). Itu satu detik yang penting buat saya dan Perancis.

“Ia satu perlawanan yang sukar, ini kini sebahagian daripada sejarah bola sepak dan Piala Dunia. Hari ini, ini perlawanan berbeza tetapi kualiti Paraguay tetap sama,” katanya seperti dilaporkan Tribal Football.

Perancis dilihat memiliki kelebihan kerana masih belum tewas kepada Paraguay dalam lima pertemuan sebelumnya. Ini termasuk kemenangan 5-0 ke atas mereka pada 2017.

Meskipun begitu, Deschamps mengingatkan anak buahnya bahawa Paraguay berupaya mencipta kejutan seperti yang dialami Jerman dalam pusingan 32 pasukan terbaik.

“Paraguay bukan pasukan yang muncul secara tiba-tiba. Seperti mana-mana pasukan Amerika Selatan, mereka memiliki jiwa besar. Bukan aspek agresif yang membantu memenangi perlawanan,” tambahnya.

“Ini pasukan yang tahu tentang bola sepak dengan baik. Mereka memiliki pemain-pemain yang bagus seperti (Julio) Enciso dan (Miguel) Almiron. Mereka saling mengenali, mereka melakukan perkara dengan bagus. Tetapi bukan itu saja.”

Perancis berharap pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni sempat pulih daripada kecederaan menjelang aksi menentang Paraguay. Jika itu tidak berlaku, N’Golo Kante atau Warren Zaire-Emery bakal ditagih Deschamps untuk menerajui bahagian tengah.