Piala Dunia FIFA: Tuah Penalti Bantu Paraguay Tewaskan Jerman
MakanBola
conmebol

Paraguay mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA selepas menewaskan Jerman menerusi penentuan sepakan penalti pada pagi Selasa.

Pertarungan cukup sengit berlaku ketika aksi Jerman menentang Paraguay apabila permainan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti sebelum slot ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 menjadi milik pasukan Amerika Selatan itu.

Penyerang berbisa, Denis Undav diberikan tugas penting di jentera serangan Jerman apabila tampil di dalam kesebelasan utama buat kali pertama tatkala Paraguay menaruh kepercayaan kepada bekas pemain EPL, Miguel Almiron dan Julian Enciso.

Permainan seimbang ditampilkan kedua-dua pasukan dengan Jerman dilihat lebih gemar memegang penguasaan bola, namun masih gagal menemui cara untuk menembusi pertahanan kebal Paraguay di sepanjang 40 minit pertama perlawanan.

Jerman bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan pada minit ke-42 permainan menerusi tandukan bebas Julian Enciso yang pantas menyambar hantaran lintang Matias Galarza bagi meletakkan Paraguay di hadapan 1-0 di babak pertama.

Usaha Jerman bagi memburu gol penyamaan membuahkan hasil selepas Kai Havertz berjaya menanduk masuk gol pertama Die Mannschaft pada minit ke-56 sekali gus kembali merancakkan permainan antara kedua-dua pasukan.

Aksi selama 120 minit berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan Paraguay muncul pemenang dengan keputusan 4-3.

Dengan kemenangan ini, Paraguay dijadualkan berdepan pemenang antara Perancis vs Sweden pada 5 Julai hadapan.