Corak permainan dinamik yang dipamerkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka memberi cabaran kepada pasukan Jepun, Sanfrecce Hiroshima menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Hal ini dinyatakan pengendali Jerman, Bartosch Gaul apabila ditanya tentang kekuatan pasukan gergasi selatan tanah air itu.
Gaul yang pernah mengetuai akademi RB Leipzig melihat JDT bukan saja menggunakan corak permainan berteraskan penguasaan bola.
Malah, juara Piala FA 2025/26 itu juga memiliki ramai pemain hebat. Atas sebab itu, Gaul melihat Sanfrecce perlu berada di tahap terbaik jika mahu mendapatkan keputusan positif ke atas JDT.
“Mereka satu pasukan yang mementingkan penguasaan bola. Mereka memiliki pemain pantas di bahagian hadapan dan saya fikir mereka memiliki keupayaan individu yang tinggi.
“Kita kena kawal bola dengan baik dan tidak terperangkap dengan kelajuan atau serangan balas pihak lawan.
“Jika kita kekalkan penguasaan bola, saya fikir momentum permainan akan memihak kepada kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Sanfrecce berharap dapat meneruskan momentum kemenangan di bawah bimbingan Gaul. Sebelum ini, pasukan itu menewaskan V. Varen Nagasaki 3-1 dalam aksi pembukaan musim 2026.
Sanfrecce juga berharap dapat kekal menghuni kelompok tiga teratas Liga Timur ACLE. Ini kerana pasukan itu mengumpul 11 mata, dua mata di belakang pendahulu Liga Timur ACLE, Vissel Kobe.
JDT dan Sanfrecce akan berentap di Stadium Bola Sepak Hiroshima pada 10 Februari ini.