Jurulatih Sanfrecce Hiroshima Hairan Dengan Keputusan 3 Pemain JDT
MakanBola
Sanfrecce Hiroshima

Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul mengakui merasa hairan apabila mengetahui tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu menjalani penggantungan 12 bulan.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Ini selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membuat keputusan berhubung rayuan tujuh pemain Malaysia termasuk Figueiredo, Irazabal dan Hevel.

Meskipun menjalani penggantungan 12 bulan, mereka masih dibenarkan menjalani aktiviti bola sepak termasuk berlatih dengan kelab masing-masing. Mereka hanya dilarang menyertai aksi rasmi.

Gaul mengakui merasa hairan apabila mengetahui perkara tersebut. Ini ditambah dengan Figueiredo turut beraksi dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 4 Mac lalu.

Pada masa sama, bekas pengurus akademi RB Leipzig itu melihat isu tersebut tidak mengganggu fokus pasukan itu menjelang aksi kedua pusingan 16 pada Rabu.

“Apa yang saya boleh katakan pada awalnya, ini satu jenaka kerana ini cuma satu perlawanan. Saya menyokong keputusan yang jelas dan jika ada situasi yang melanggar peraturan, saya tak tahu.

“Jika ada, kena ada keputusan jelas berhubung perkara itu. Bagi saya, itu tidak jelas dan saya tidak memahaminya 100% tapi ia tidak mengganggu kita kerana perkara yang kita boleh kawal ialah pasukan kita.

“Cara kita untuk memenangi perlawanan. Ini juga solusi untuk kita dan kita harus fokus (kepada perlawanan kedua pusingan 16 ACLE),” katanya.

Sanfrecce berharap dapat mengatasi kelebihan agregat 3-1 yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menempah tiket suku akhir.