Jurulatih Sanfrecce Hiroshima Hilang Kata-Kata, Bek JDT Raih Pujian
MakanBola
Sanfrecce Hiroshima

Jurulatih Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul akur melihat anak didiknya tumpas kepada keampuhan aksi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perlawanan pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite (ACLE) pada Rabu menyaksikan JDT meneruskan langkah ke suku akhir apabila menumbangkan Sanfrecce Hiroshima 3-2 secara agregat.

Walaupun Sanfrecce Hiroshima menang 1-0, namun itu tidak cukup buat kelab dari Jepun itu untuk mengatasi defisit dua jaringan yang dimiliki oleh JDT hasil kemenangan 3-1 minggu lalu.

Sebaik tamat perlawanan, Bartosch Gaul akui sukar untuk merumuskan kata-kata setelah akur dengan kekalahan ini, namun tetap memuji usaha dan komitmen pemain-pemain Sanfrecce Hiroshima.

“Agak sukar untuk menyimpulkan kata-kata selepas satu perlawanan di mana penyingkiran sudah pun ditentukan.

“Namun pertama sekali, saya benar-benar memuji pemain-pemain saya yang berjuang dengan sepenuh usaha hingga ke penghujung perlawanan,” ujar Bartosch Gaul.

Tambah beliau, pertahanan ampuh JDT menyukarkan usaha pemain-pemainnya bagi mencari jaringan meskipun mereka berjaya mencipta beberapa gerakan berbahaya ke arah kubu lawan.

“Hari ini, walaupun kami merasakan masa permainan sebenar agak singkat, kami tidak berjaya menembusi pertahanan kuat lawan di dalam kotak penalti dan itu merupakan satu cabaran buat kami.

“Namun begitu, kami berjaya mencipta banyak peluang dan untuk aksi hari ini, tiada apa lagi yang boleh dikatakan selain daripada itu.

“Saya fikir kami telah mempamerkan permainan yang baik untuk melangkah ke hadapan pada masa akan datang.”

Kekalahan ini menyaksikan Sanfrecce Hiroshima tersingkir di pentas Asia buat kali kedua berturut-turut setelah mengalami nasib sama se musim lalu apabila tewas di separuh akhir ACL2 kepada Lion City Sailors.