Jurulatih skuad kebangsaan Singapura, Tsutomu Ogura telah memetik nama Malaysia dan Vietnam dalam sidang media pra-perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di antara Singapura dan Bangladesh.
Ogura menyebut bahawa skuad Singapura kendaliannya sudah terbiasa dengan atmosfera di dalam stadium yang dipenuhi penyokong lawan kerana pernah melaluinya ketika bertemu Malaysia dan Vietnam sebelum ini.
“Bagi kami, kami telah pun mengalami situasi keadaan stadium yang tiketnya habis dijual kerana pernah menentang pasukan seperti Vietnam dan Malaysia.
“Kami menghormati pasukan Bangladesh, tetapi kami tidak takut kepada mereka. Selagi kami konsisten dengan bermain bola sepak yang kami mahukan esok, kami akan mencipta peluang dan menyasarkan untuk mendapatkan keputusan positif,” jelas Ogura seperti dikongsikan FA Singapore.
Perkongsian Ogura itu menjelaskan bahawa penyokong di Malaysia dan Vietnam sentiasa memberikan sokongan yang hebat buat pasukan kebangsaan masing-masing ketika beraksi di laman sendiri.
Singapura dijadualkan bertemu Bangladesh pada 10 Jun di tempat lawan bagi aksi kedua Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2027.
Namun agak mengejutkan apabila Singapura hadir ke Bangladesh tanpa tonggak pertahanan utamanya, Irfan Fandi yang tidak dipanggil ke kem kebangsaan kali ini.