Jurulatih Thailand, Anthony Hudson mengakui kagum dengan prestasi yang ditampilkan Malaysia dalam aksi ketiga Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup di Stadium Rajamangala.
Meskipun turun tanpa Endrick dos Santos yang mengalami kecederaan ligamen medial kolateral (MCL), Harimau Malaya memberi cabaran hebat kepada tuan rumah.
Malaysia kemudiannya terpaksa akur dengan kehandalan Thailand yang meraih kemenangan 2-0. Sungguhpun begitu, Hudson kagum dengan prestasi skuad negara sepanjang perlawanan.
“Saya rasa Malaysia pasukan yang berbahaya. (Meskipun kehilangan tonggak) penting dan beraksi tanpa Endrick dos Santos yang telah mengubah permainan (buat Malaysia) tapi banyak pemain dalam perlawanan ini mempunyai kemahiran individu yang baik.
“Ini termasuk kelajuan yang baik, pergerakan yang baik dan (memiliki banyak) tenaga,” katanya selepas perlawanan.
Hudson turut memuji bekas pemain tengah Sri Pahang FC, Sergio Aguero. Bekas jurulatih BG Pathum United itu melihat kerja keras yang ditampilkan Aguero memberi cabaran hebat kepada Thailand di bahagian tengah.
“Sergio Aguero telah melakukan kerja yang bagus (di bahagian tengah). Kita perlu memberi penghargaan kepada staf kejurulatihan Malaysia yang telah melakukan tugas yang hebat dan permainan ini mempunyai banyak kejutan,” tambahnya.
Keputusan ini menyaksikan Thailand mengetuai Kumpulan B dengan enam mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Thailand, Malaysia di tempat kedua kerana telah beraksi lebih satu perlawanan.
Skuad negara berpeluang mara ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup dengan syarat mereka menewaskan Filipina dalam aksi terakhir kumpulan pada 8 Ogos ini.