Pengendali Turkiye, Vincenzo Montella sedia meniru taktik lawan pertama mereka dalam Kumpulan D Piala Dunia 2026, Australia.
Ini kerana pada hemat jurulatih Itali berusia 51 tahun itu, pasukan yang dibimbing Tony Popovic itu bukan saja memiliki mentaliti yang hebat. Malah, mereka juga dilabel berani menggunakan penyerang terutama pada akhir permainan.
“Australia sebuah pasukan yang memiliki mentaliti kuat, tabah dan tahu apa yang mereka lakukan bila mereka mendapat bola.
“Australia ialah satu pasukan yang tidak malu, (lebih tepat) pasukan yang berani dan mereka tahu apa yang mereka boleh dapat bila menggunakan penyerang dan kelajuan (ketika serangan balas).
“Kadang-kadang saya fikir akan gunakan sesetengah teknik mereka (bila perlu), saya fikir mereka memiliki teknik yang menarik,” katanya seperti dilaporkan Football 360.
Ini penampilan pertama Turkiye di pentas Piala Dunia sejak edisi 2002. Justeru, Montella dijangka menurunkan barisan terkuat apabila bertemu The Socceroos di Vancouver pada 14 Jun ini.
Antara pemain yang dijangka menjadi sandaran legenda AS Roma itu ialah kapten, Hakan Calhanoglu, Kenan Yidiz, Arda Guler dan pemenang Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dua kali berturut-turut, Merih Demiral.