Menjelang aksi kumpulan I Liga Juara-Juara AFC yang menemukan Ulsan Hyundai dan Johor Darul Ta’zim (JDT) petang esok, jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo menjelaskan pasukannya terdesak untuk mencipta kemenangan.
Bagi Myung-bo, kemenangan ke atas JDT mampu mengembalikan suasana yang terbaik di kalangan pemain Ulsan selepas pasukan itu gagal mencipta kemenangan dalam empat aksi terakhir mereka.
“Kami memerlukan kemenangan esok untuk meningkatkan mood pasukan. Melepasi pusingan awal (peringkat kumpulan ACL) adalah matlamat terbesar kami. Pemain juga merasakan perkara yang sama,” jelas Myung-bo.
Dalam masa yang sama, Myung-bo tidak mahu membuang stereotaip mengenai pasukan dari asia tenggara yang dahulunya kekurangan dari segi fizikal dan stamina. Beliau melihat JDT adalah berbeza kerana mempunyai barisan pemain yang hebat.
“Pada masa lalu, pasukan Asia Tenggara tidak mempunyai fizikal dan stamina, tetapi kini mereka bermain bola sepak dengan cara yang berbeza. Johor mempunyai pemain yang ada dua kewarganegaraan seperti Sepanyol, Brazil, dan Argentina. Kita perlu membuang stereotaip bahawa Johor adalah pasukan Asia Tenggara,” tegas Myung-bo lagi.
Ulsan Hyundai kini berada pada landasan terbaik untuk menjulang Liga K1 Korea Selatan apabila mereka kini di puncak liga dengan mengumpul 67 mata jauh meninggalkan pasukan di tangga kedua, Pohang Steelers yang mengumpul 59 mata.
JDT dan Ulsan kini mempunyai kutipan mata yang sama iaitu 3 mata selepas masing-masing merekodkan satu kemenangan. Kawasaki Frontale berada di takhta kumpulan dengan 6 mata selepas mencatatkan dua kemenangan. BG Pathum United berada di tangga tercorot tanpa sebarang mata.