Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K, Nanthakumar berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain Negeri Sembilan apabila berjaya mengikat Kedah Darul Aman 2-2.
Jacque Faye muncul watak penting dalam aksi sengit ini apabila meledak dua gol untuk membantu Negeri Sembilan berkongsi 1 mata bersama Kedah.
K. Nanthakumar memuji semangat yang ditonjolkan para pemain Negeri Sembilan apabila berjaya bangkit untuk mengikat Kedah ketika perlawanan berbaki 11 minit.
“Pada hari ini kita datang ke gelanggang lawan dan mahu dapatkan satu mata tetapi pemain kita begitu bersemangat pada perlawanan ini. Kita bertahan dan melakukan serangan balas dan kita meraih dua gol.
“Memang saya puas hati apa yang pemain tunjukkan. Kita datang ke tempat lawan dan lawan kita Kedah, pasukan yang sangat bagus. Kita dapat satu mata dan kita bangga dengan perkara itu.” ujar ketua jurulatih itu.
K. Nanthakumar turut mula mengatur strategi untuk pasukan Negeri Sembilan apabila bersedia melakukan beberapa perubahan pada jendela perpindahan kedua kelak.
“Memang kita ada rancang untuk melakukan perubahan dalam masa yang terdekat apabila liga mula berehat nanti.” ujar K. Nanthakumar setelah tamat perlawanan.
Jurulatih itu membimbing Negeri Sembilan buat pertama kali dalam aksi menentang Kedah di Stadium Darul Aman setelah menggantikan peranan ketua jurulatih yang sebelum ini disandang oleh Azzmi Aziz.
Negeri Sembilan kini berada di tangga ke-12 liga dengan mengumpul 4 mata dalam 8 perlawanan hasil 1 kemenangan, 1 seri dan 6 kekalahan manakala Kelantan Darul Naim kekal di tangga terakhir dengan 3 mata.