Kekalahan kepada Malaysia memberikan kesan mendalam kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan.
Harimau Malaya menamatkan penantian selama 11 tahun apabila menundukkan pasukan bimbingan Kim Sang-sik dengan keputusan 4-0 pada aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Kejayaan itu diserikan dengan kehadiran 5 pemain warisan baharu dari Eropah yang memberikan impak besar terhadap persembahan anak buah Peter Cklamovski di Bukit Jalil.
Quoc Tuan yang menyaksikan perlawanan tersebut mengakui ia memberikan kesan yang mendalam terhadap dirinya sehingga mengganggu waktu tidur.
“Saya dah beruban dan tidak boleh tidur selama dua hari,” ujarnya selepas mesyuarat pada 17 Jun lalu.
Beliau bagaimanapun tidak mahu Vietnam untuk menggunakan pendekatan sama seperti Malaysia dan Indonesia.
“Kami telah menganalisis strategi bola sepak dari pelbagai latar belakang.
“Jika kami menaturalisasikan ramai pemain, ia memang akan menguatkan lagi pasukan kebangsaan tetapi saingan liga akan semakin lemah,” tambahnya.
Vietnam bakal melayan kunjungan Malaysia pada 31 Mac 2026 di laman sendiri dalam misi untuk merebut tiket ke pentas Piala Asia 2027.