“Kalau Malaysia Menang, Saya Hubungi Dia” – Anwar Ibrahim
MakanBola
FA Malaysia

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan respon mengenai aksi tumpuan Kelayakan Piala Asia 2027 di antara Malaysia dan Vietnam yang dijadualkan pada 10 Jun ini.

Anwar menganggap Vietnam merupakan sebuah pasukan yang hebat namun beliau percaya pasukan Malaysia kendalian Peter Cklamovski kini penuh semangat dan kekuatan.

Dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh pada 25 Mei yang lalu, Anwar sempat berseloroh bahawa jika Malaysia menang, beliau akan menghubungi Pham Minh Chinh namun jika tewas, beliau akan masuk tidur.

“Vietnam mempunyai pasukan yang hebat, seperti yang anda tahu, mereka sangat kuat. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, tetapi kami mempunyai pasukan yang penuh semangat dan kekuatan, bersedia untuk menunjukkan diri mereka.

“Jangan terlalu yakin, kerana kali ini kami benar-benar telah membuat persiapan dengan sangat teliti. Jika pasukan Malaysia menang, saya akan hubungi dia (Perdana Menteri Pham Minh Chinh). Jika tidak, saya akan tidur,” seloroh Anwar seperti yang dikongsikan Anninh Thu Do.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi aksi bertemu Vietnam ialah pada tahun 2014 dalam saingan Piala AFF dan selepas itu tiada sebarang kemenangan dan hanya satu keputusan seri dicatatkan Malaysia.

Aksi kedua-dua pasukan pada 10 Jun ini nyata menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak Asia Tenggara apatah lagi dengan menyaksikan Malaysia membawa beberapa muka baharu yang beraksi di luar negara seperti Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Jon Irazabal.

Manakal Vietnam turut membawa masuk seorang pemain warisan iaitu Jason Pendant yang beraksi di posisi pertahanan kiri.