Harimau Malaya menyambut kehadiran 4 pemain warisan antaranya adalah peledak berbisa America de Cali, Rodrigo Holgado.
Skuad Kebangsaan Malaysia pada Rabu dengan sukacitanya mengumumkan 4 pemain terbaru iaitu, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado secara rasmi menyertai skuad senior Harimau Malaya.
Menurut kenyataan Malaysia NT, kesemua 4 pemain ini telah menjalani sesi latihan bersama pasukan dan mempamerkan prestasi yang cukup membanggakan menurut penilaian dari barisan kejurulatihan.
Salah seorang daripadanya, Imanol Machuca yang beraksi di posisi sayap berkata, terdapat perasaan istimewa apabila sah mewakili Harimau Malaya yang dianggap satu penghormatan besar.
“Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk saya.”
“Saya dapat merasakan ia sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili pasukan Harimau Malaya dan ia adalah satu penghormatan, dan saya akan berikan segalanya,” kata Machuca.
Manakala Rodrigo Hogaldo pula menyatakan rasa jatuh cinta ketika menjejakkan kaki di Malaysia dan mula untuk mengerti makna besar di sebalik menyarung jersi keramat Harimau Malaya.
“Sejak tiba di sini, saya jatuh cinta dengan suasana dan negara ini.”
“Sekarang saya mula faham apa maknanya bermain untuk Malaysia dan saya sedia berikan segala-galanya.”
Jon Irazabal berkongsi keterujaannya bermain untuk skuad negara selain menyifatkan sebagai momen yang cukup unik dapat menggalas tanggungjawab membawa harapan rakyat Malaysia.
“Saya telah memilih Malaysia, kerana saya percaya di sinilah tanggungjawab kebangsaan saya sebenarnya terletak.”
“Saya sudah mula merasai sendiri betapa istimewa dan uniknya bermain untuk Malaysia,” jelas Jon Irazabal yang bermain untuk kelab Azerbaijan, Sabah FK.
Joao Figueiredo juga menyatakan hasrat untuk melangkah lebih jauh bersama skuad kebangsaan di pentas peringkat Asia.
“Secara peribadi, musim ini amat bermakna untuk saya dan dapat mewakili Malaysia serta berkongsi impian ini bersama anda semua bagi melangkah lebih jauh di Asia dan dunia benar-benar satu penghormatan.
“Saya tak sabar merasai sokongan dan kasih sayang daripada para penyokong. Ia sesuatu yang unik dan luar biasa.”
Khidmar Hogaldo, Figueiredo, Machuca dan Irazabal dijangka bakal menjadi sandaran pasukan Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun ini.