Selepas memberikan segala-galanya buat Kelantan FC sejak musim 2021, kapten pasukan, Yusri Yuhasmadi akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada The Red Warriors.
Perkara tersebut telah dikongsikan di laman instagram milik beliau sebentar tadi. Yusri merakamkan ucapan terima kasih kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman, pihak pengurusan, pegawai, rakan-rakan sepasukannya di Kelantan dan penyokong The Red Warriors.
Namun begitu, dalam masa yang sama beliau turut berharap akan kembali ke pasukan Kelantan suatu masa nanti.
“3 tahun berkhidmat dengan pasukan kelahiran, mengucapkan selamat tinggal pada pasukan ini teramat sulit. Tetapi saya mengucapkan selamat tinggal dengan harapan kita akan bertemu lagi suatu hari nanti.
“Terima kasih kepada majikan saya bosszam (Norizam Tukiman), pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, semua staf dan rakan-rakan seperjuangan dan tak lupa kepada semua penyokong Kelantan FC yang selalu ada dibelakang kami.
“Jasa anda semua amat saya hargai. Hidup tak selalunya indah, tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan,” coret Yusri di laman instagram beliau.
Dengan kehilangan Yusri, Kelantan kini semakin tempang selepas sebelum ini telah kehilangan beberapa tonggak utama pasukan seperti Muhaimin Izuddin, Natanael Siringoringo, Ikhwan Yazek dan Fazrul Amir.
Berbaki dua perlawanan Liga Super menentang PDRM FC pada 10 Disember dan Kelantan United pada 16 Disember, Kelantan dijangka akan terus menggunakan tenaga pemain muda untuk menghabiskan musim mencabar ini.