Kata-kata bekas pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner terhadap Rahadiazli Rahalim makan diri.
Pengendali kelahiran Croatia itu menjadi jurulatih pertama Liga Super yang meninggalkan posisinya bagi musim 2024/25.
Isu prestasi menyebabkan beliau terpaksa membawa haluan baharu namun kata-kata beliau terhadap Rahadiazli mengundang padah.
Pada bulan Disember 2023, beliau memberi bayangan bahawa tiada tempat buat penjaga gol muda itu dalam perancangannya setelah menaruh kepercayaan kepads Syed Nasrulhaq dan juga Suhaimi Husin.
“Ya saya sudah pun membuat keputusan mengenai penjaga gol yang bakal diturunkan esok. Saya tahu semua mata tertumpu kepada Rahadiazli selepas beliau melakukan kesilapan tempoh hari.
“Demi masa depannya, Abe (Rahadiazli) perlu ke kelab lain untuk menjadi penjaga gol nombor satu kerana di Terengganu Suhaimi Husin merupakan penjaga gol utama,” jelasnya.
Nasib Rahadiazli bagaimanapun berubah selepas Terengganu dikendalikan oleh Badrul Afzan sejak ketiadaan Tomislav apabila beliau kembali mendapat kepercayaan untuk beraksi.
Pemain berusia 24 tahun itu beraksi 5 perlawanan bagi aksi Piala Malaysia termasuklah ketika tunduk 0-4 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau juga memegang rekod tanpa bolos ketika menentang Shan United bagi aksi ASEAN Club Championship.
Terengganu akan bertemu PSM Makassar bagi aksi di ASEAN pada 22 Januari ini.