Kata-Kata Xuan Son Jadi Kenyataan
MakanBola
Thep Xanh Nam Dinh FC

Kata-kata penyerang naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son benar-benar menjadi kenyataan.

Jaguh Asia Tenggara itu menutup kempen Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 dengan kemenangan ke atas Malaysia dengan keputusan 3-1.

Vietnam gah merekodkan kemenangan bersih peringkat kumpulan sekali gus mengumpul 18 mata untuk menempah tiket ke pentas Piala Asia 2027 Arab Saudi.

Skuad kendalian Kim Sang-sik jelas lebih tajam pada bahagian serangan selepas kepulangan tonggak 29 tahun itu bersama pasukan, kira-kira 9 bulan selepas beliau terlepas aksi bertemu Malaysia di Bukit Jalil.

Sebelum ini, peledak kelahiran Brazil ini telah memberikan bayangan mahu membalas dendam terhadap Harimau Malaya menerusi satu hantaran media sosialnya.

“31 Mac 2026,” ujarnya ringkas.

Xuan Son hanya meletakkan tarikh 31 Mac 2026 dalam hantaran tersebut tanpa mengeluarkan apa-apa kenyataan.

Detik ini menjadi kenyataan selepas beliau menjaringkan dua gol bertemu Harimau Malaya di Nam Dinh, masing-masing pada minit ke-51 dan 59.

Satu lagi jaringan terhasil oleh kapten pasukan, Do Duy Manh menerusi tandukan dari sepakan penjuru seawal minit kelima permainan.

Malaysia menamatkan saingan Kelayakan Piala Asia 2027 dengan 9 mata di tangga kedua selepas enam perlawanan.