Skuad Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) resah memikirkan masalah kecederaan yang menimpa penyerang Palestin, Layth Kharoub.
Layth menyertai adiknya yang juga kapten Sang Kijang Emas, Oday Kharoub dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Sejak menyertai pasukan itu pada penghujung Ogos lalu, beliau sudah merekodkan tiga penampilan dalam Liga Super dan menjaringkan satu gol. Ini termasuk kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC di Paroi pada 27 September lalu.
Walau bagaimanapun, ramai penyokong Kelantan DN bimbang melihat Layth tidak dapat meneruskan perlawanan kerana masalah kecederaan.
Keadaan ini memaksa jurulatih Sang Kijang Emas, Park Jae-hong memasukkan Zuasyraf Zulkiefle sebagai pengganti penyerang berusia 33 tahun itu pada minit ke-75.
Pengurusan Kelantan DN kemudiannya memaklumkan kecederaan yang dialami Layth tidak serius seperti disangka. Pada masa sama, kelab tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghantar bekas penyerang Al-Dhahiriya SC itu menjalani pemeriksaan susulan.
“Laporan awal menyatakan tahap kecederaan Layth Kharoub tidak serius. Bagaimanapun, pihak kelab akan membuat pemeriksaan susulan untuk melihat sejauh mana kecederaan yang dialami pemain penyerang ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Selain Layth, Kelantan DN juga berdepan masalah tidak dapat menggunakan khidmat Oday dan bek tengah Republik Czech, Michal Jerabek untuk aksi liga seterusnya.
Ini kerana kedua-dua pemain itu telah mengutip kad kuning ketiga semasa menentang Negeri Sembilan. Justeru, Oday dan Jerabek perlu menjalani penggantungan satu perlawanan.