Kedah Darul Aman Belum Terima Bantuan
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pemilik majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr Daud Bakar mendedahkan pasukan itu belum menerima bantuan untuk kemelut kewangan yang dihadapi.

Sejak awal musim 2024/25, pasukan yang diberi jolokan Sang Kenari itu bergelut dengan masalah kewangan termasuk isu tunggakan gaji.

Isu tersebut turut menyebabkan Kedah kehilangan beberapa tonggak utama dalam tetingkap perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) baru-baru ini. Antaranya ialah Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, Fikri Che Soh dan Habib Haroon.

Daud memaklumkan pasukan itu belum menerima bantuan atau penajaan yang berimpak tinggi dari mana-mana pihak untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi.

Pada masa sama, beliau tetap bersyukur kerana dengan kos kewangan yang ada, Kedah masih berupaya memenuhi komitmen perlawanan baik di tempat sendiri mahupun di tempat lawan.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk memaklumkan bahawa sehingga kini KDA FC belum lagi menerima mana-mana bantuan atau penajaan yang berimpak tinggi dari mana-mana pihak dalam menyelesaikan kemelut serta krisis gaji yang tertunggak.

“Namun alhamdulillah walaupun dalam serba kekurangan,pihak kelab masih mampu meneruskan operasi wajib pasukan seperti pengelolaan perlawanan di tempat sendiri mahupun tempat lawan walaupun dalam kos yang minima,” katanya dalam satu kenyataan.

Atas sebab itu, Daud mengalu-alukan mana-mana entiti yang berminat mengambil alih pegangan saham pasukan itu untuk tampil dan menyatakan minat secara rasmi.

Ini kerana dengan berbuat demikian, ini akan membantu pengurusan Kedah menjamin masa hadapan pasukan itu ke arah yang lebih baik.

“Sehubungan itu, pihak kelab ingin menjemput pihak syarikat yang berminat tersebut (atau mana-mana individu dan syarikat lain) untuk menghantar Surat Tunjuk Minat (Letter Of Interest) atau Surat Tawaran (Letter of Offer) secara rasmi kepada pihak kami.

“Pihak pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC. Masa depan KDA FC adalah lebih penting dari mana-mana kepentingan yang lain,” ujarnya.

Kedah kini sibuk mengatur persiapan untuk aksi liga seterusnya menentang Selangor FC pada 2 November ini.

Sang Kenari yang dibimbing Nafuzi Zain berharap dapat mengulangi kejayaan mengalahkan pasukan itu 3-1 di Stadium Darul Aman pada September 2022. Ronald Ngah, Marc Vales dan Fayadh Zulkifli mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan berkenaan.