Kedah Jelaskan Punca Gagal Dapatkan Lesen Kebangsaan
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pemilik Majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memberi penjelasan berkenaan keputusan kelab gagal mendapatkan lesen kebangsaan.

Pada Khamis, pihak Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan mengumumkan Kedah antara dua buah kelab yang gagal untuk melepasi piawaian bagi mendapatkan lesen kebangsaan.

”First Instance Body (FIB) turut mengesahkan 2 kelab Liga Super, iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan,” umum MFL.

Lantaran itu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil dengan satu kenyataan buat para peminat Kedah bagi menjelaskan situasi pasukan yang sudah pasti tidak akan beraksi di pentas Liga Super.

”Kepada seluruh penyokong Hijau Kuning yang dihormati,
seperti yang dimaklumkan oleh MFL, Kedah Darul Aman FC tidak berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/2026.”

“Ini bermaksud, KDA FC tidak akan beraksi dalam saingan Liga Super musim akan datang.”

Menurut beliau, kegagalan Kedah untuk mendapatkan lesen kebangsaan adalah kerana tidak mematuhi aspek kewangan yang harus diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak MFL dan FIB.

“Kegagalan ini berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” jelas Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Walau bagaimanapun, beliau memohon maaf kepada seluruh peminat serta pihak penaja Kedah selain mempertimbangkan pilihan lain bagi memastikan kelab terus relevan di masa akan datang.