Kedah Darul Aman FC mengumumkan penamatan kontrak Duta Kelab, CEO Batu serta-merta.
Menerusi sebuah kenyataan yang dimuat naik di Instastory, pihak pengurusan Kedah Darul Aman sedar berkenaan isu yang tular mengenai CEO Batu di media sosial baru-baru ini.
Oleh itu, atas dasar tidak mahu berkompromi, pihak kelab telah mengambil keputusan drastik dengan menamatkan kontrak pempengaruh tersebut serta-merta.
“Pihak KDA FC telah mengambil maklum berkenaan isu berkenaan salah seorang Duta Rasmi KDA FC,” umum kelab dari utara tanah air itu.
“Pihak KDA FC tidak berkrompomi dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah laku dari segi undang-undang.”
Oleh yang demikian, pihak KDA FC dengan ini telah menamatkan kontrak CEO Batu serta-merta.”

Terdahulu, CEO Batu yang berusia 22 tahun telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur.
Pempengaruh yang terkenal di platform Tiktok itu dilaporkan telah mengirim sekeping foto berbaur lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 14 tahun dipercayai di aplikasi Whatsapp.
Tindakan tidak bermoral itu telah dikesan oleh ibu mangsa dan telah ditularkan oleh pempengaruh terkenal Malaysia, Caprice di laman Instagram sehingga mendapat perhatian ramai.
Sehingga kini, kes masih di bawah siasatan pihak polis.