Keisuke Honda Ingin Lihat Iran Sertai Piala Dunia
MakanBola
Selangor FC

Legenda Jepun, Keisuke Honda ingin melihat pasukan gergasi Asia, Iran beraksi dalam saingan Piala Dunia.

Hasrat itu dizahirkan beliau menerusi satu ciapan ringkas di X. Meskipun sedar ia satu perkara sensitif, Honda berharap perkara itu menjadi realiti.

“Saya tahu ia satu perkara yang sensitif tetapi secara peribadi, saya mahu mereka (Iran) menyertai Piala Dunia,” katanya di X.

Kenyataan itu dibuat tatkala Iran mengambil keputusan untuk menarik diri dari Piala Dunia 2026 atas faktor keselamatan.

Ini susulan konflik yang tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran sejak 28 Februari lalu.

Tidak lama kemudian, beliau mendedahkan ada sebuah entiti komersial dari AS memilih menangguhkan iklan yang menampilkan dirinya.

Honda percaya tindakan syarikat tersebut dilihat sebagai reaksi terhadap kenyataan beliau tentang Iran. Justeru, bekas bintang AC Milan itu melihat syarikat yang lebih mementingkan nilai komersial daripada nilai kemanusiaan sepatutnya ditinggalkan.

“Nampaknya iklan sebuah syarikat AS yang sepatutnya dimuktamadkan menjelang Piala Dunia telah ditangguhkan disebabkan kenyataan ini.

“Syarikat-syarikat yang memilih tidak mengendahkan perkara penting dan membuat keputusan-keputusan buruk – kita lebih baik tanpa mereka,” ujarnya.

Susulan itu, ramai peminat menggesa bekas jeneral tengah CSKA Moscow itu mendedahkan nama syarikat tersebut bagi membolehkan kempen boikot dilancarkan.