Iran Tarik Diri Piala Dunia 2026
MakanBola
CAFA

Pasukan gergasi Asia, Iran sah menarik diri dari Piala Dunia 2026.

The Straits Times melaporkan keputusan itu diumumkan Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali pada 11 Mac lalu.

Donyamali memaklumkan faktor keselamatan menjadi pendorong buat Iran menarik diri daripada kejohanan bola sepak berprestij itu.

Ini ditambah dengan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang juga tuan rumah bersama Piala Dunia dan Israel mencetuskan konflik dengan Iran. Ini sekaligus mencetuskan konflik baharu di rantau Asia Barat.

“Dengan mengambil kira rejim korup ini membunuh pemimpin kami, bagaimana kita mampu nak sertai Piala Dunia.

“Anak-anak kami tidak selamat dan secara dasarnya, syarat untuk penyertaan kami tidak wujud. Dengan mengambil kira tindakan buruk mereka terhadap Iran, melancarkan dua perang terhadap kami dalam tempoh lapan atau sembilan bulan dan membunuh ribuan orang.

“Sudah tentu pada akhirnya, kita tidak akan menyertai (Piala Dunia 2026),” katanya.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI), Mehdi Taj turut memberi bayangan bahawa Iran akan menarik diri atas faktor keselamatan.

Ini kali pertama sesebuah pasukan menarik diri dari saingan Piala Dunia sejak edisi 1950. Edisi tahun itu menyaksikan India dan Perancis menarik diri atas faktor kos dan tempoh perjalanan ke Brazil.

Iran berpotensi bukan saja dikenakan denda CHF250,000 (RM1.3 juta) oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, negara itu juga berpotensi tidak dibenarkan menyertai kejohanan anjuran FIFA dan digantikan oleh negara ahli lain untuk slot Piala Dunia.

Keputusan Iran dijangka memberi tamparan hebat kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino. Ini kerana sebelum ini, beliau telah mendapat jaminan Presiden AS, Donald Trump bahawa pasukan Asia Barat itu akan dibenarkan bertanding dalam Piala Dunia.