Kejohanan ASEAN B-23: Malaysia Hadapi Cabaran Indonesia
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia bakal berdepan cabaran negara jiran, Indonesia untuk saingan Kejohanan ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) 2025.

Ini selepas cabutan kumpulan kejohanan menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Tim Garuda. Brunei dan Filipina melengkapkan pasukan dalam kumpulan sama.

Kumpulan B pula terdiri daripada tiga negara Indo-China iaitu Vietnam, Kemboja dan Laos. Thailand, Myanmar dan Timor Leste pula dalam Kumpulan C.

Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan anak buah Nafuzi Zain menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026.

Pertembungan Malaysia dan Indonesia dijangka menarik. Ini kerana kedua-dua pasukan berada dalam kumpulan sama dalam edisi 2023.

Aksi kumpulan pada ketika itu menyaksikan anak buah E. Elavarasan menewaskan Indonesia 2-1 menerusi dua gol Fergus Tierney.

Kini, skuad negara yang dibimbing Nafuzi berharap dapat memperbaiki pencapaian tempat keempat yang diraih dalam kejohanan edisi sama.