Pengendali skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain menganggap Thailand sebagai pencabar utama pasukan itu dalam Kumpulan F.
Pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026 menyaksikan Malaysia dan Thailand berada dalam kumpulan sama. Turut sama dalam kumpulan itu ialah Mongolia dan Lubnan.
Thailand juga turut menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah kelayakan Kumpulan F. Ini bermakna mereka memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
Nafuzi mengakui skuad muda Gajah Perang bakal memberi cabaran sengit kepada Malaysia dalam Kumpulan F. Ini kerana pasukan itu memiliki reputasi baik terutama dalam saingan B-23.
“Kita tahu Thailand satu pasukan yang sangat bagus. Dan berdasarkan keputusan-keputusan sebelum ini dari segi kejohanan B-23, agak lagi baik daripada pasukan Malaysia,” katanya kepada SNE Sports.
“Ini adalah satu cabaran untuk saya persiapkan pasukan. Kita tahu Thailand cukup bersedia untuk menghadapi kelayakan ini.
“Kita tahu apa yang kita perlu buat dan bekerja keras untuk mempersiapkan pasukan hadapi kelayakan ini.”
Nafuzi bakal dibantu bekas jurulatih Everton, Jose Baxter. Selain berperanan sebagai penolong jurulatih Peter Cklamovski, beliau juga akan bertindak sebagai perantara antara skuad senior dan Malaysia B-23.