Bekas penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat percaya skuad Malaysia B-23 memiliki ramuan bergelar juara Kejuaraan ASEAN B-23 2025.
Pandangan itu dilontarkan beliau apabila ditanya tentang peluang pasukan itu dalam kejohanan tersebut baru-baru ini.
Khairul Fahmi yang mesra disapa Apek percaya jurulatih Malaysia B-23, Nafuzi Zain sudah membuat kerja rumah dan mengenal pasti barisan pemain mana yang akan dibawa untuk kejohanan itu.
“Pemain B-23 dipilih berdasarkan antara pemain terbaik daripada Liga Super dan pasukan tahun lalu. Nafuzi pastinya sudah buat kerja rumah.
“Ketika ini mereka antara pemain terbaik di dalam negara. Saya sasar mereka untuk muncul juara.
“Saya yakin dengan (kemampuan) pemain dan kredibiliti yang dimiliki Nafuzi sendiri,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Malaysia B-23 berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Indonesia, Filipina dan Brunei. Kejohanan itu akan berlangsung dari 15 hingga 29 Julai ini.