Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) membuka kempen Kejuaraan B-17 ASEAN dengan langkah kiri apabila tewas kepada Vietnam dalam aksi pertama Kumpulan A.
Anak buah Shukor Adan berharap dapat mempamerkan prestasi terbaik menentang Vietnam. Ini kerana Vietnam antara pasukan ASEAN yang berjaya layak ke Piala Asia B-17 2026.
Adam Muqri Muhaizam memikul tugas sebagai kapten skuad muda Malaysia. Le Trong Dai Nhan mengetuai serangan skuad muda Vietnam.
Separuh masa pertama menyaksikan Vietnam berusaha mencari gol awal di Stadium Gelora Joko Samudro, Gresik, Indonesia.
Gol yang dicari hadir pada minit ke-12 menerusi Le Sy Bach. 16 minit kemudian, Sy Bach sekali lagi merobek gawang Malaysia yang dikawal Adam Nurfakrullah Mohd Fadli.
Nguyen Van Duong memastikan Vietnam selesa mendahului 3-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-38.
Bersambung selepas rehat, Malaysia cuba memperkemaskan rentak untuk mengelak gawang daripada dibolosi.
Malangnya, perkara itu tidak berlaku. 11 minit selepas babak kedua bersambung, Nguyen Manh Cuong menyumbat gol keempat Vietnam.
Skuad muda negara berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Vietnam mengetuai Kumpulan A dengan tiga mata.
Kedudukan itu dijangka berubah apabila tuan rumah, Indonesia menentang Timor Leste dalam satu lagi aksi kumpulan.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Indonesia dalam aksi kedua kumpulan pada 16 April ini.