Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) mempamerkan tentangan sengit sebelum tewas kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN.
Selepas kedua-dua pasukan meraih dua kemenangan, Malaysia dan Thailand sedar mereka perlu menang atau seri dalam aksi terakhir kumpulan. Ini kerana kemenangan bukan saja menjamin kemaraan ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.
Malah, jika Malaysia dan Thailand seri sekalipun, itu sudah cukup untuk memberi mereka kelebihan sebagai pasukan kedua terbaik. Itu juga cukup untuk menyingkirkan satu lagi pasukan jaguh ASEAN, Vietnam yang kini menduduki tempat kedua terbaik.
Abid Safaraz Rozaidi dan Arsyad Shamsul Aswadi menjadi sandaran jurulatih negara, Nafuzi Zain untuk merobek gawang Thailand.
Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan. Kem Thailand kemudiannya tergamam apabila gawang mereka dibolosi pada minit ke-13 menerusi Amar Imran Uzaini Ashadi.
Kapten skuad muda Thailand, Pichaiya Kongsri menyamakan kedudukan lapan minit selepas itu. Thailand kemudiannya mendahului menerusi rembatan lencong Pirada Larsawat pada minit ke-42.
Malaysia memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi gol Arsyad pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan di Stadium Madya Sumatera Utara.
Kedua-dua pasukan membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat menambah kreativiti dan taji di bahagian serangan.
Thailand kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti selepas Ilhaam Azani Mohd Azamin dikesan menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti. Pichaiya tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-80.
Anak buah Nafuzi cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia terpaksa melupakan impian mara ke separuh akhir.
Kemenangan buat Thailand memastikan tiket separuh akhir diraih menerusi slot juara Kumpulan B. Mereka mengikut jejak Indonesia yang layak sehari sebelumnya sebagai juara Kumpulan A.