Kejuaraan B-19 ASEAN: Thailand ‘Ratah’ Brunei
MakanBola
Changsuek

Skuad Thailand Bawah 19 Tahun (B-19) melaungkan amaran kepada Malaysia dan Singapura dalam Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 dengan membelasah Brunei 9-0.

Thailand sedar mereka perlu meraih kemenangan besar ke atas Brunei jika mahu meraih kedudukan sebagai pendahulu kumpulan.

Jurulatih skuad muda Gajah Perang, Jukkapant Punpee menurunkan barisan terkuat untuk perlawanan itu. Ini termasuk peledak muda BG Pathum United, Siwakorn Ponsan.

Itthimon Thipanet membuka tirai jaringan buat Thailand seawal minit ketujuh. Pemain sayap Nongbua Pitchaya, Pattaratron Buransuk mencipta hatrik menerusi gol pada minit ke-24, 27 dan 36.

Pemain tengah Bangkok United, Pichaya Kongsri memastikan Thailand selesa mendahului 5-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-40.

Bersambung pada babak kedua, Brunei berusaha memperkemaskan pertahanan mereka bagi memastikan gawang mereka tidak dibolosi lagi.

Malangnya, apa yang dihajatkan pasukan Borneo itu tidak berlaku. Siwakon mencetak dua gol buat Thailand pada minit ke-49 dan 52.

Brunei makin derita apabila dibolosi lagi pada minit ke-69 dan 89. Keputusan 9-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Thailand menerajui Kumpulan B dengan tiga mata. Kedudukan kumpulan dijangka berubah apabila Malaysia dan Singapura berentap dalam satu lagi aksi kumpulan.