Advertising
Kelab China, Wuhan Three Towns Berpotensi Dibubarkan
MakanBola
Wuhan Three Towns

Juara Liga Super China (CSL) musim 2022, Wuhan Three Towns berdepan potensi dibubarkan sekiranya tidak mempunyai pemilik baru yang boleh mengambil alih kelab dengan segera.

Ini selepas Wuhan mengumumkan para pelabur yang membiayai kelab tersebut telah menyatakan hasrat untuk tidak membiayai mereka selepas 1 September ini. Begitupun, para pelabur berkenaan sudah berjanji untuk memastikan kelab bebas hutang pada tarikh pelaburan mereka berakhir.

Ad

Pelabur kelab juga telah mengumumkan bersedia melepaskan Wuhan secara percuma kepada mana-mana pihak yang berminat seperti didedahkan China Sports Vision 2050.

Ad

Susulan itu, Devdiscourse mendedahkan Wuhan telah mengatur satu mesyuarat kecemasan bagi memastikan kelab dapat memenuhi komitmen perlawanan sehingga CSL berakhir.

Wuhan ketika ini menduduki tangga keenam liga dengan saingan CSL musim ini berbaki enam perlawanan. Mereka juga merupakan wakil China dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) selain Zhejiang FC dan Shandong Yaishan.

Ad

Masalah kewangan yang membelenggu kelab-kelab China bukan satu isu baru sejak beberapa tahun lepas. Ia disebabkan oleh kelembapan ekonomi China dan ketidaktentuan yang menyelubungi syarikat-syarikat hartanah negara itu.

Ad

Dua kelab yang sudah merasa penangan isu ini ialah Jiangsu FC dan Guangzhou FC. Menariknya, dua kelab ini pernah menjadi lawan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dalam saingan ACL.

Ad

Jiangsu yang sebelum ini dikenali sebagai Jiangsu Suning dibubarkan selepas tiga bulan menjulang CSL pada 2020. Seperti Wuhan, pemilik Jiangsu ketika itu, Suning Investment Group mengumumkan tidak lagi melabur dalam kelab tersebut.

Jiangsu kemudiannya dibubarkan selepas tiada individu yang berminat mengambil alih kelab berkenaan.

Manakala Guangzhou pula kini berada di divisyen kedua China selepas pemilik mereka, China Evergrande berdepan masalah kewangan yang serius. Semasa kelab itu berada di kemuncak, mereka berupaya merekrut jurulatih berkaliber seperti Marcello Lippi dan Luiz Felipe Scolari.

Situasi Wuhan dijangka dipantau AFC lebih-lebih lagi selepas penentuan kumpulan ACL telah dibuat. Kelab itu akan beraksi dalam Kumpulan J bersama juara bertahan ACL, Urawa Red Diamonds, Pohang Steelers dan Hanoi FC.