Kelab EPL, Nottingham Forest kini berdepan masalah selepas didakwa berhutang dengan pemain dan ejen berjumlah jutaan ringgit.
Akhbar Daily Mail melaporkan Forest berhutang dengan pemain-pemain termasuk yang sudah meninggalkan kelab bayaran bonus termasuk bonus mengekalkan mereka dalam EPL.
Selain bayaran bonus, Forest juga gagal melangsaikan bayaran komisen kepada ejen-ejen. Kegagalan pengurusan kelab diketuai pemilik Evangelos Marinakis melangsaikan tunggakan ini boleh menyebabkan Forest disaman.
EPL musim lepas menyaksikan 30 pemain dibawa ke City Ground termasuk pemain terbaik Forest musim lepas, Morgan Gibbs-White. Ini menyebabkan sejumlah besar bayaran diperuntukkan kepada ejen-ejen pemain.
Walaupun bergelut, kelab itu berjaya kekal di EPL pada musim lepas dan menduduki tempat ke-16. Kejayaan itu diraih apabila mereka menewaskan Arsenal di City Ground pada 20 Mei lalu.
Selepas berbelanja besar musim lepas, Forest dilihat mula berbelanja secara berhemah dengan membawa masuk tiga pemain baru iaitu Anthony Elanga, Chris Wood dan Ola Aina.
Kelab itu juga turut melepaskan enam pemain pada akhir musim bagi menjimatkan perbelanjaan gaji. Setakat artikel ini ditulis, Forest belum mengeluarkan komen tentang perkara ini.
Selepas gagal membayar bonus pada Julai lepas, ramai pemain menjangkakan bonus mereka akan dibayar sekitar Ogos ini. Dijangkakan pemain yang meninggalkan kelab juga akan mendapat bonus dalam tempoh sama.