Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Wolves telah meminjam wang daripada kerajaan United Kingdom (UK) sebanyak £99 juta (RM588 juta) untuk membantu menstabilkan kewangan mereka.
Akhbar Express & Star melaporkan pinjaman tersebut dibuat menerusi UK Export Finance, sebuah agensi kerajaan UK yang bertanggungjawab membantu syarikat-syarikat eksport negara itu dengan dana sebanyak £6.5 bilion (RM38.5 bilion).
Wolves layak menerima pinjaman tersebut kerana disebabkan minat besar negara-negara luar terhadap EPL dengan separuh wang penyiaran dari luar negara membentuk separuh daripada pendapatan TV mereka.
Ini bermakna peratusan tertentu ‘produk’ kelab dieksport ke luar negara dan itu cukup melayakkan Wolves untuk pinjaman berkenaan.
Pinjaman ini dilihat dapat menstabilkan kos operasi dan meningkatkan aliran tunai kelab tersebut. Walaupun pinjaman ini diluluskan pada tahun lepas, nama Wolves hanya didedahkan menerusi satu pengumuman kerajaan baru-baru ini.
Sejak beberapa tahun lepas terutama semasa pandemik Covid-19, kelab-kelab British membuat pinjaman dengan syarikat-syarikat asing bagi menampung kos dan kerugian yang dialami ketika itu.
Dalam kes Wolves, mereka pernah melakukannya bersama firma kewangan Australia, Macquarie Group di mana wang perpindahan atau penyiaran dicagarkan bagi mendapatkan pinjaman.
Tetapi Wolves boleh menghela nafas lega kerana pinjaman kali ini akan ditanggung oleh pemilik kelab, Fosun. Selain itu, terma pembayarannya juga jauh lebih baik berbanding apa yang ditawarkan Macquarie Group sebelum ini.