Kelab Liga Super Disaran Bijak Memilih Tonggak Import
MakanBola
Selangor FC

Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Razman Roslan berharap kelab-kelab Liga Super bijak memilih tonggak import bagi menghadapi musim 2025/26.

Pemilihan pemain import dijangka lebih rancak selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pertambahan kuota 15 pemain import dalam Liga Super.

Meskipun begitu, Razman berharap pasukan-pasukan liga lebih bijak memilih pemain bagi menghadapi musim 2025/26.

Ini kerana tindakan sesetengah kelab menukar pemain dalam tetingkap kedua perpindahan liga dilihat memberi kesan kepada status kewangan mereka.

Selain itu, Razman juga turut mempersoal peranan sesetengah ejen yang dilihat lebih mementingkan keuntungan sendiri apabila memperkenalkan pemain mereka kepada kelab.

“Bagi saya, ini sesuatu yang (membimbangkan). Awal musim akan ada pemain import, tetingkap kedua pun ada pemain import. Sah akan bertukar (pemain import),” katanya semasa menjadi panel Nindia.

“Jadi, di situ kita tidak tahu apa peranan ejen sama ada membantu jurulatih atau pasukan. Atau sekadar nak buat duit, itu yang jadi persoalan.

“Dengan liga kita yang semakin berkembang, dengan pertambahan pemain import, kita nak pemain import yang datang berkualiti. Tetingkap kedua itu kalau boleh tak nak ubah.”

Perubahan kuota kali ini menyaksikan formula 7+2 (simpanan) digunakan. Tujuh ini terdiri tujuh pemain import terbuka, satu pemain import Asia dan dua pemain import ASEAN.