Pengelola Liga Super, Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan penambahan kuota import kepada 15 orang pemain bermula musim hadapan.
Menerusi satu kenyataan daripada pihak MFL, Ahli Lembaga Pengarah (BOD) telah pun bersetuju bagi meluluskan jumlah pendaftaran pemain untuk kelab yang bersaing di peringkat Asia kepada 34 pemain.
Manakala kelab-kelab lain yang hanya beraksi dalam saingan liga Malaysia pula hanya dibenarkan untuk mendaftarkan 30 pemain berbanding 32 pemain seperti pada musim sebelum ini.
“BOD MFL telah bersetuju bagi meminda jumlah pendaftaran pemain iaitu 34 pemain untuk kelab yang bersaing dalam ACL Elite dan ACL2, 32 pemain untuk kelab lain kepada 30 pemain kepada semua kelab.”
Menariknya, kesemua kelab yang bertanding juga dibenarkan untuk mendaftar seramai 15 pemain asing kali ini berbanding 12 pada musim lalu dengan 9 pemain dibenarkan ketika hari perlawanan.
Daripada 9 pemain pada hari perlawanan ini, 7 pemain boleh bermain di atas padang sementara dua lagi akan memulakan aksi dari bangku simpanan dengan komposisi 4 terbuka + 1 Asia + 2 Asean.
Manakala semua kelab dibenarkan mendaftar pemain asing sejumlah 15 pemain dengan kuota pemain asing di atas padang seramai 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 Asean.
Walau bagaimanapun setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.
Ini kerana perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan FFP dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling ‘salary cap’ sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini.