Kelab Vietnam Rancak Bawa Pulang Pemain Warisan Eropah
MakanBola
Burnley FC

Kelab Vietnam kini sedang giat untuk memantapkan persiapan pasukan dengan membawa pulang pemain warisan dari Eropah.

Pasukan terkemuka Vietnam iaitu CAHN dilaporkan bakal memberikan sehingga dua slot pemain import buat pemain warisan Vietnam yang belum mendapat kerakyatan.

Usaha ini sama seperti yang pernah dilakukan sebelum ini apabila membawa pulang pemain seperti penjaga gol, Nguyen Phillip dan juga Cao Quang Vinh Pendant.

Pemain yang menjadi buruan CAHN ketika ini ialah tonggak muda kacukan Ireland-Vietnam, Brandon Ly yang kini beraksi buat Burnley FC U-21.

Tonggak tengah ini memiliki susur galur Vietnam menerusi bapanya yang merupakan warganegara sementara ibunya berasal dari Ireland.

Brandon telah dipinjamkan ke kelab Divisyen 7 England, Hyde United pada musim lalu selain beraksi dalam 32 perlawanan musim ini bersama pasukan muda Burnley.

Beliau juga telah memikirkan mengenai perancangan untuk mewakili Vietnam sejak sekian lama.

“Saya telah memikirkan perancangan untuk mewakili Vietnam. Keluarga saya pun sudah berbincang mengenai perkara ini.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan tetapi saya sangat teruja mengenainya,” katanya menurut laporan VNExpress.

Bukan itu sahaja, CAHN dikatakan akan meminjamkan pemain ini ke kelab lain dengan dua lagi pemain warisan yang berada dalam radar pasukan menjelang musim baharu.