Vietnam Tak Mahu Jadi Seperti Malaysia & Indonesia
MakanBola
VFF

Presiden Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan, menegaskan bahawa Vietnam tidak akan mengikut jejak langkah Malaysia dan Indonesia dalam mendapatkan pemain warisan ataupun naturalisasi secara besar-besaran.

Walaupun bola sepak Asia Tenggara kini dilihat cenderung kepada pendekatan itu, Vietnam memilih untuk berpegang pada pembangunan dalaman yang berterusan.

Menurut Tran, strategi utama bola sepak Vietnam kekal berlandaskan kekuatan dalaman, terutamanya melalui pembangunan akar umbi dan peningkatan mutu liga domestik. Mereka percaya bahawa dengan membina asas yang kukuh dari dalam, pasukan kebangsaan mampu menjadi lebih kompetitif dalam jangka panjang tanpa terlalu bergantung kepada pemain luar.

“Kami kekal dengan strategi pembangunan yang berasaskan kekuatan dalaman bola sepak, dan pada masa yang sama, jika kami menambah pemain naturalisasi, ia mesti dilakukan secara terpilih dan bersesuaian.

“Ianya perlu dilakukan agar dapat mengekalkan identiti serta mencetuskan motivasi untuk pasukan berkembang bukan secara besar-besaran seperti Indonesia atau Malaysia,” jelas Quoc Tuan kepada Anninhthudo.

Kenyataan ini hadir di tengah-tengah perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak serantau, terutamanya selepas Malaysia menurunkan lima pemain warisan baharu ketika menewaskan Vietnam 4-0 dalam kelayakan Piala Asia 2027. Kekalahan itu mencetuskan spekulasi bahawa Vietnam mungkin akan mempertimbangkan langkah sama untuk aksi timbal balik pada tahun hadapan.

Sebelum ini, MakanBola melaporkan Vietnam sudah mengenalpasti 100 pemain warisan yang beraksi di luar negara namun kesemua mereka perlu melalui syarat ketat jika mahu menyarung jersi skuad kebangsaan Vietnam.

Kini tumpuan beralih kepada bagaimana Vietnam akan mempersiapkan diri menjelang aksi penting menentang Malaysia pada 31 Mac 2026 nanti. Adakah pendekatan berasaskan kekuatan dalaman ini mampu membuahkan hasil, atau mereka akhirnya terpaksa akur dengan arus perubahan bola sepak moden?