Kelantan Bakal Dijual RM10 Juta, Zamsaham Mahu Pilih Erfan

Zamsaham 18 Kelantan Bakal Dijual RM10 Juta, Zamsaham Mahu Pilih Erfan
Zamsaham
Nabil Fahmi @nabilfamy
12:48pm 08/07/2023

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali dengan gelaran Zamsaham dilihat semakin hampir untuk menjual kelab yang dibelinya pada September 2020 itu.

Zamsaham dalam satu status di Facebook rasmi beliau berkata terdapat tawaran untuk membeli Kelantan FC pada harga RM10 juta. Jika segalanya berjalan lancar, beliau mahu menjual Kelantan FC kepada usahawan muda, Erfan Akif.

“Ada orang tawarkan nak beli RM10juta. InshaAllah saya akan jual pada Saudara Erfan, beliau hanya berikan proof of fund untuk buktikan beliau benar-benar serius,” coret Zamsaham dalam status Facebook beliau.

Dalam masa yang sama, Zamsaham akan berjumpa dengan Erfan dan seorang lagi usahawan yang juga menyatakan minat untuk membeli Kelantan FC iaitu, Dato Seri Vida.

“InshaAllah, hari ini saya ke Pulau Pinang untuk lihat perlawanan musim ke dua dan berjumpa saudara Erfan dan Dato Vida dalam masa terdekat,” jelas Zamsaham lagi.

Baru-baru ini, Erfan menyatakan keseriusan beliau untuk membeli dan mengambil alih Kelantan FC. Usahawan yang juga menjalankan perniagaan perlombongan emas itu akui tidak gentar untuk bersaing dengan individu-individu lain yang turut berminat membeli Kelantan FC.