Advertisements
Kelantan Bakal Panggil Semula Pemain Import Indonesia Perkuat Pasukan
Liga Super
MakanBola
TRW Kelantan FC

Selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super, penilaian tentang keberkesanan tenaga import Kelantan sudah mula dibuat. Dengan sesetengah pemain import menunjukkan prestasi kurang memuaskan, pemilik pasukan, Norizam Tukiman bersedia memanggil semula awang import Indonesia, Natanael Siringoringo.

Norizam atau mesra dikenali sebagai Zamsaham berpandangan langkah tersebut perlu demi memperkuat pasukan. Dengan pasukan kini menduduki tangga ke-10 liga, perkara terakhir yang dimahukan ialah awang import sebagai ‘penumpang’ dalam pasukan.

Ketika ini, Kelantan mempunyai sembilan awang import iaitu kapten Mario Arques, Miguel Cifuentes, Christian Rontini, Nuha Marong, Carli de Murga, Ismahil Akinade, Kang Yi-chan, Kim Min-kyu dan Leonardo Rolon.

“Pemain import saya boleh katakan, ada saya berpuas hati dan ada yang saya tak berpuas hati. Ada juga yang saya jumpa secara peribadi, saya katakan, sepatutnya dia kena berprestasi berbanding pemain ‘local’ sebab pemain ‘local’ kita mengharapkan pemain import, sebab dia tu pemain import.

“Saya amat berpuas hati dengan Cifu (Miguel Cifuentes). Saya suka dengan dia punya profesionalisme, berlari lebih daripada 90 minit,” katanya dalam temubual bersama Astro Arena.

Atas sebab inilah, Zamsaham mahu Natanael kembali membarisi The Red Warriors semasa tetingkap perpindahan kedua nanti. Ketika ini, pemain sayap Indonesia itu dipinjamkan ke Dewa United dengan kontrak pinjamannya berakhir pada penghujung Mac ini.

“Insya Allah di pusingan kedua nanti, kita akan datangkan semula pemain import kita iaitu Natanael Siringoringo, sebab ramai bertanya adakah Natanael akan datang bermain dengan kita balik. Insya Allah kontrak dia akan tamat dan dia akan beraksi dengan Kelantan FC semula,” tambahnya.

Dengan tetingkap perpindahan liga kedua pada Julai ini, barisan awang import Kelantan sedia ada perlu menunjukkan kemampuan sebenar mereka. Mereka boleh membuktikannya dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 1 April ini.