Kenapa Orang Kelantan Boleh Terima Pemilik Dari Johor?
Blog
Kelantan FC
Advertisements

Nama Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham tidaklah asing dalam dunia bola sepak semenjak keputusan beliau untuk membeli pasukan Kelantan FC kira-kira dua tahun yang lalu.

 Beliau secara rasmi menjadi pemilik pasukan Kelantan FC selepas membeli pemilikan penuh saham syarikat TRW Sdn. Bhd dengan jumlah sebesar RM3 juta serta RM3.8 juta bagi menyelesaikan hutang tertunggak pasukan ketika itu.

Usaha ini jelas membuahkan hasil apabila kini Kelantan sudah bebas daripada belenggu hutang yang melibatkan gaji pemain.

Advertisements

Sebelum ini, Zamsaham pernah memaklumkan bahawa beliau memerlukan tempoh sekitar 3 hingga 5 tahun pertama  untuk mengembalikan kepercayaan penyokong.

 Walau bagaimanapun, timbul beberapa persoalan mengenai penerimaan secara terbuka para penyokong Kelantan terhadap usaha murni Zamsaham ini sungguhpun beliau berasal dari negeri Johor.

Oleh yang demikian, berikut merupakan antara sudut pandang yang boleh menjelaskan perkara ini dari aspek budaya masyarakat Kelantan.

Advertisements
  1. Secara amnya, ramai orang Kelantan berkahwin dengan orang Johor !

Berdasarkan pengalaman dan kenalan sekitar semenanjung tanah air, terdapat ramai juga orang Kelantan yang berpasangan dengan orang Johor.

Keserasian mungkin dilihat sebagai salah satu faktor penting yang mampu wujud antara kedua-dua belah pihak.

Hal ini juga bertentangan dengan stigma bahawa kebanyakan orang Kelantan hanya mahu berkahwin dengan orang di negerinya sendiri sahaja.

Advertisements

Walau bagaimanapun, ini hanyalah sekadar ‘teori’ kecil dan tidaklah mewakili pandangan majoriti penduduk.

Jadi, ia bukanlah satu tugas yang sukar bagi penyokong setia The Red Warriors untuk menerima kehadiran Zamsaham bagi mengisi tampuk kepimpinan tertinggi kelab.

2. Mindset bisnes Zamsaham yang jelas dan bermatlamat.

Advertisements

Penerimaan Zamsaham juga dipengaruhi oleh faktor ‘business-minded’ yang dibawa sejak dari awal penglibatan beliau bersama kelab.

Malah, pelbagai usaha yang dilakukan secara jelas termasuklah bagi mendapatkan dana menerusi pembinaan aset-aset kelab seperti Hotel, kedai burger dan bermacam lagi aspek yang boleh dilihat.

Ini sekaligus mencerminkan keseriusan beliau untuk menghidupkan semula kelab yang seakan tidak bernyawa sebelum ini.

Malah, perniagaan dan juga bisnes ini seakan sudah sebati dengan jiwa rakyat Kelantan.

Bagi yang gemar merantau sudah pastinya sinonim dengan perniagaan yang diasaskan oleh orang Kelantan tidak kira dalam sektor apa pun.

Hal ini menyebabkan para penyokong mudah untuk menghadam pendekatan Zamsaham bagi memastikan kelab sentiasa berada dalam keadaan stabil.

Akhirnya, Zamsaham telah pun mengumumkan bahawa Kelantan sudah pun mencatakan keuntungan pertama sejak diswastakan.

3. Penyokong sudah letih di ‘scam’ pengurusan lama.

Sejak mengecapi era gemilang sekitar tahun 2009-2013, prestasi pasukan Kelantan jelas jatuh menjunam dengan pelbagai masalah yang melanda.

Pertukaran tampuk kepimpinan kelab dan juga ‘ikon’ telah menjejaskan kestabilan dan juga hala tuju pasukan sekaligus menyebabkan Kelantan terpalit dengan pelbagai isu dalaman.

Namun begitu, sejak diambil alih oleh Zamsaham, perkara seperti itu tidak lagi berulang.

Malah, beliau kelihatan sudah pun bersedia dengan pelbagai perancangan sebagai persediaan tidak kira dalam tempoh yang pendek, sederhana mahupun pelan jangka masa panjang.

Secara realistiknya, usaha tersebut kini sudah berada pada jalan yang benar. Kelantan sudah mula mencapai kestabilan dari sudut dalam dan juga luar padang.

Kini, pasukan Che Siti Wan Kembang ini sedang gah mengungguli takhta Liga Premier dengan hanya merekodkan satu kekalahan setakat ini.

4. Orang Kelantan sambut baik harga tiket kelab.

Seperti yang diketahui, Zamsaham telah memperkenalkan sistem harga tiket yang unik buat para penyokong pasukan Kelantan.

Mereka yang mendapatkan harga tiket lebih awal dapat menikmati potongan harga istimewa manakala mereka yang membelinya pada hari perlawanan ditawarkan pakej burger Zamburger secara percuma.

Usaha ini dipandang dengan cukup positif oleh penyokong yang jelas dengan ‘permainan’ kelab yang mahu mendapatkan keuntungan bagi kelangsungannya.

Ini dibuktikan apabila Kelantan mencatatkan jumlah penyokong ketiga tertinggi ketika menentang Kuching City FC baru-baru ini.

Para penyokong jelas berpuas hati dengan aksi yang diperagakan oleh pasukan ketika ini selain berada pada landasan terbaik untuk menjuarai Liga Premier.

Kesimpulan:

Kini, pemilik dari Johor ini telah membuka mata banyak pihak tentang keseriusan beliau untuk membangunkan bola sepak kelantan.

Malah, Zamsaham sejak dari awal pengambilalihannya menjelaskan bahawa ia tidak menjadi satu masalah untuk membawa kelab itu sungguhpun beliau berasal dari Johor.

Beliau juga pernah menjelaskan antara salah satu sebab yang membuatkan hatinya benar-benar mahukan Kelantan adalah disebabkan penyokongnya yang unik dan kini mereka berada pada kedudukan yang amat berpotensi untuk melangkah lebih baik.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram