Persiapan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) menjelang aksi Liga Super 2024/25 yang bermula esok semakin mantap apabila menerima tajaan berjumlah RM400,000.
Tajaan ini disumbang oleh dua syarikat yang memainkan peranan sebagai rakan strategik Kelantan pada musim 2023. Dua syarikat tersebut ialah Madoo Bee Marketing Sdn. Bhd. dan Master Aleyh Yusof menerusi syarikatnya MAY Adjust Sdn. Bhd.
Madoo Bee Marketing bersetuju meneruskan penajaan sebanyak RM200,000 kepada skuad Kijang Emas untuk musim 2024/25.
MAY Adjust turut memeterai perjanjian kerjasama dengan Kelantan untuk musim ini berjumlah RM200,000.
Menerusi kerjasama ini, Master Aleyh dan MAY Adjust menyediakan khidmat rawatan buat pasukan Pantai Timur itu sepanjang musim 2024/25.
Pemeteraian kerjasama antara Kelantan dengan kedua-dua entiti itu diadakan di pejabat urusan kelab di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu hari ini.
Presiden kelab, Rozi Muhamad mewakili pengurusan Kijang Emas. Sementara Master Aleyh dan Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin masing-masing mewakili MAY Adjust dan Madoo Bee Marketing.
Suntikan penajaan ini dijangka menyemarakkan semangat anak buah Park Jae-hong apabila turun menentang Sri Pahang FC untuk aksi pertama liga yang berlangsung esok.