Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus mendapat sokongan penaja apabila ROHM Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd bersetuju memperbaharui kerjasama dengan pasukan itu.
Pemeteraian kerjasama ini dibuat dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Bangunan A, REMA, Pengkalan Chepa baru-baru ini.
Kelantan DN diwakili oleh Presiden, YB Rozi Muhamad, Pegawai Komunikasi Korporat, Hisham Lokman dan Pegawai Operasi, Mohd Afiq.
Sementara ROHM Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd pula diwakili oleh Presiden, Hideki Hashimoto dan Pengurus Besar, Mr. Hiroaki Terasaka.
Menerusi perjanjian ini, skuad Kijang Emas menerima tajaan sebanyak RM200,000 untuk kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Kerjasama yang terjalin antara Kelantan DN dan ROHM Electronics tidak hanya tertumpu dari segi penajaan. Malah, ini turut terpakai dari segi pembangunan akar umbi.
Pada November 2023, pengurusan Kijang Emas dengan kerjasama ROHM Electronics dan Hassan Hardware Ketereh menghantar skuad Bawah 16 Tahun (B-16) ke Jepun untuk menyertai Kasaoka International U-16 Friendly Tournament.
Kejohanan itu menyaksikan pasukan Pantai Timur itu bersaing dengan beberapa pasukan Negara Matahari Terbit itu termasuk kelab J2 League, Fagiano Okayama.