Pasukan Kelantan FC bakal mendapat suntikan pelaburan baru selepas seorang figura berstatus VVIP akan diumumkan sebagai rakan kongsi baru kelab berkenaan esok.
Perkara ini dinyatakan sendiri oleh pemilik skuad Kijang, Norizam Tukiman atau Zamsaham. Beliau juga mengesahkan rakan kongsi baru ini bukan usahawan kosmetik, Dato Seri Vida atau pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan.
“Bukan Dato Vida (Hasmiza Othman) dan bukan juga Erfan, tapi kawan saya seorang Datuk yang akan saya umumkan petang esok jam 3 petang di Kuala Lumpur.
“Sidang media itu saya akan umumkan bagi menjawab persoalan peminat. Di samping saya juga akan menjawab persoalan-persoalan lain tentang Kelantan FC,” katanya kepada Arena Metro.
Sebelum ini, Dato Seri Vida dan Erfan antara yang disebut-sebut mahu mengambil alih The Red Warriors (TRW) daripada Zamsaham.
Malah, Erfan juga mengesahkan telah memeterai perjanjian kerahsiaan (NDA) dengan Zamsaham dalam usaha mendapatkan TRW.
Identiti figura berkenaan dijangka diketahui dalam sidang media Zamsaham di Hotel Zamburger Wira, Kuala Lumpur jam 3.00 petang esok.