Malaysia Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa sekatan perpindahan pemain terhadap kelab Kelantan FC telah ditarik balik.
Khabar gembira ini telah diumumkan dalam satu kenyataan di laman rasmi media sosial MFL. Ini bermakna pasukan Kelantan boleh mendaftarkan pemain pada jendela perpindahan kedua.
“Badan bebas, “First Instance Body” (FIB) memaklumkan sekatan perpindahan pemain Kelantan FC pada jendela kedua telah ditarik balik bermula hari ini.”
Menurut MFL, FIB telah menyemak segala dokumen berkaitan dan perintah sekatan pemain sebelum ini terbatal.
“FIB mengambil maklum dan telah menerima segala dokumen yang diperlukan untuk menarik balik perintah sekatan perpindahan pemain jendela kedua.”
“Namun begitu, penarikan balik sekatan perpindahan pemain ini adalah berbeza dan tidak mempunyai impak ke atas sebarang sekatan perpindahan pemain yang dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas ini.”
Kini Kelantan bebas membawa masuk pemain bagi memperkuat pasukan untuk mengharungi saki baki saingan Liga Super dan menjelang kempen Piala Malaysia 2023 kelak.